S’wak belum benarkan tadika beroperasi

KUCHING, 4 JUN – Sarawak masih belum membenarkan taman didikan kanak-kanak (tadika) beroperasi semula di negeri ini dan hanya membenarkan taman asuhan kanak-kanak (taska) sahaja beroperasi semula mulai 9 Jun.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah hari ini berkata keputusan ini selaras dengan ketetapan kerajaan pusat yang telah mengumumkan kebenaran pembukaan semula taska berkuat kuasa serta-merta pada 2 Jun lepas.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) juga bersetuju cadangan kita bagi membuka semula taska sahaja di Sarawak bermula 9 Jun depan, manakala tadika belum lagi,” katanya dalam sidang media majlis penyampaian Geran Tahunan Khas (GTK) kepada pengusaha taska dan tadika di Wisma Kebajikan, Petra Jaya, di sini. – Bernama