S’wak cadang bina jalan hubungi Long Terawan

KUCHING, 6 APRIL – Sebuah jalan raya akan dibina bagi menghubungkan Long Terawan, iaitu kawasan penempatan di daerah Baram di pedalaman Sarawak, dengan bandar raya Miri melalui bandar Marudi di utara negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Tanpa mendedahkan perincian projek berkenaan, beliau berkata ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya empat tahun untuk disiapkan dan jalan berkenaan bakal mengubah landskap dan sosioekonomi penduduk di kawasan berkenaan yang berpotensi dari segi pertanian dan pelancongan.

“Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) diberi tanggungjawab untuk memberi input kepada saya berkenaan bagaimana untuk membangunkan lagi kawasan ini,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (SRBN) di Long Terawan, kira-kira 886 kilometer dari sini hari ini.

Long Terawan adalah kawasan penempatan di tebing Sungai Batang Baram dalam daerah Baram dengan penduduknya amat bergantung kepada pengangkutan bot panjang menyusuri sungai berkenaan untuk berhubung dengan kawasan luar. – Bernama

KM S’wak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. –Bernama