S’wak cuba tarik pelancong dari India

KUCHING, 11 NOV – Sarawak akan berusaha menarik kehadiran lebih ramai pelancong dari India sebagai salah satu penerokaan pasaran baru negeri tahun depan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memberi tumpuan terutamanya kepada bandar-bandar di selatan India, kerana kawasan itu memiliki lebih banyak akses penerbangan ke Malaysia. “Pasaran juga menunjukkan peningkatan yang berterusan dari segi ketibaan dari pelancong dari kawasan ini sejak beberapa tahun lepas. Lembaga Pelancongan juga akan melihat kepada kemungkinan mewujudkan perkongsian dengan operator pelancongan tempatan dan juga semenanjung Malaysia, yang mengkhusus kepada pasaran India,” katanya dalam ucapan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di sini hari ini.

Selain India, Abdul Karim berkata kerajaan negeri juga sedang meninjau pasaran utara Eropah dengan Lembaga Pelancongan telah mengambil bahagian dalam pameran perdagangan MATKA Scandinavian the Northern Europe, awal tahun ini untuk mempromosi pelancongan negeri. – Bernama