S’wak ingin hapus istilah negeri kaya tapi miskin’

KUCHING, 28 JULAI – Sarawak berhasrat untuk menghapuskan istilah ‘Negeri Kaya Tetapi Miskin’ menjelang 2030 dengan meningkatkan pendapatan isi rumah rakyatnya yang masih rendah iaitu RM5,218, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata antara tumpuan inisiatif yang akan dilakukan bagi meningkatkan ekonomi rakyat Sarawak ialah membangunkan hab petrokimia yang kini giat dilaksanakan di Tanjong Kidurong, Bintulu seluas 400 hektar dan membangunkan sebuah kilang metanol dengan kos keseluruhan RM3.74 bilion.

“Sebuah syarikat antarabangsa juga telah mengesahkan akan melabur RM24 bilion di hab itu yang dijangka memberi peluang pekerjaan kepada 74,000 orang secara langsung dan tidak langsung.

“Dijangkakan dengan pelaksanaan program industri petrokimia dan program ekonomi lain, pendapatan isi rumah di Sarawak yang masih rendah akan menunjukkan peningkatan,” katanya semasa melancarkan Bulan Kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Bangunan DUN Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata tidak dinafikan bahawa Sarawak adalah antara penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak 10 peratus dan pada 2019, KDNK Sarawak dianggarkan sebanyak RM136.05 bilion dengan pendapatan per kapita sebanyak RM53,317, namun realitinya jauh lebih rendah.

“Hasil minyak dan gas Sarawak adalah penyumbang yang besar kepada pendapatan negara namun, secara puratanya pendapatan isi rumah masih rendah kerana industri minyak dan gas Sarawak tidak menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada anak Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, Sarawak harus meneliti kepincangan ini dengan lebih teliti dan mikro serta mengambil tindakan untuk memperbetulkan keadaan ini.

Beliau berkata Sarawak hendaklah melaksanakan program pembangunan berdasarkan perspektif Sarawak di samping mengambil kira perspektif kebangsaan.

“Jika anak Sarawak sendiri tidak ber-upaya memelihara kepentingan dan hak Sarawak sendiri, siapa lagi yang boleh berbuat demikian…saya menganggap tidaklah menjadi kesalahan Sarawak mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih hebat sehingga mampu menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memasang Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi negeri Sarawak sempena pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri di pekarangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, kelmarin. – Bernama