S’wak kekal PKPB sehingga 26 April

KUCHING, 15 APRIL – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan terus dilaksanakan di seluruh Sarawak sehingga 26 April depan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata daerah Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Meradong juga kekal di bawah PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga tidak akan dilaksanakan di negeri itu buat masa ini.

“Kebimbangan utama JPBN dalam pelaksanaan PKP adalah kemampuan dan keberkesanan penguatkuasaan di kawasan yang lebih luas.

“Pelaksanaan PKPB dengan SOP (Prosedur Operasi Standard) yang jelas dan penguatkuasaan yang ketat adalah lebih berkesan dalam mengurangkan dan menghentikan penularan pandemik ini,” katanya pada sidang media harian JPBN di sini hari ini.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan PKP di lima daerah di Sarawak melibatkan daerah Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Meradong namun arahan tersebut telah ditarik balik.

Sementara itu, Uggah berkata JPBN pada masa yang sama akan meneruskan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berisiko tinggi di Sarawak.

Katanya PKPD adalah lebih mudah untuk diurus dan dikuatkuasakan terutamanya di kawasan terkurung atau tertumpu. – Bernama

Polis memeriksa kenderaan di sempadan negeri Pahang dan Terengganu. Rentas negeri dan kawalan pergerakan terus dikenakan di beberapa negeri termasuk di Sarawak. –Bernama