S’wak miliki akaun satelit pelancongan sendiri

KUCHING, 10 DIS – Sarawak menjadi negeri perintis di  Malaysia yang memiliki Akaun Satelit Pelancongan (TSA) serantaunya sendiri, satu kaedah popular dan diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk mengukur sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata dengan adanya TSA, kerajaan Sarawak dan peserta industri pelancongan sudah tentu akan dilengkapi dengan data berwibawa untuk mewujudkan strategi serta dasar baharu yang berkesan untuk membawa manfaat ekonomi yang sangat besar.

“Sarawak akan terus bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi memastikan maklumat sentiasa dikemas kini dalam TSA kita.

“Sebagai tambahan, sejajar dengan strategi pembangunan ekonomi Sarawak ke arah digital Sarawak, kementerian saya menambah baik dan menyediakan pelbagai maklumat statistik pelancongan dalam format digital bertujuan melancarkan penyediaan data yang pantas, tepat serta terkini bagi industri pelancongan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran  Akaun Satelit Pelancongan Sarawak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting dan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin. – Bernama