KUCHING, 25 Sept – Kerajaan negeri Sarawak sedang memperhalusi lagi mekanisme bagi pengagihan modal teroka kepada pemilik tanah yang berhasrat untuk meneroka bidang pertanian, supaya usaha menampilkan pengurusan sektor pertanian yang baik di samping menambah pendapatan para petani, mencapai matlamatnya.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penyediaan dana RM100 juta yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini yang akan mula diagih tahun depan merupakan satu pelengkap kepada usaha kerajaan memajukan sektor pertanian negeri.
Beliau berkata ini kerana kerajaan melihat pemberian bantuan dalam bentuk subsidi atau geran kepada para pengusaha bidang pertanian tidak mencapai matlamatnya dengan tepat disebabkan wujudnya penyelewengan, di samping potensi untuk gagal yang amat tinggi disebabkan pelbagai faktor.
Beliau yang juga Menteri Pemodenan Pertanian Sarawak berkata secara teorinya menerusi modal teroka ini, tanah yang kecil mungkin akan disatukan dan diusahakan secara lebih profesional oleh satu syarikat tertentu, dan saham syarikat itu nanti akan dijual kepada pemilik tanah apabila tanaman mulai menampakkan keuntungan.
“Pemberian subsidi atau lain-lain bantuan kepada pengusaha pertanian akan tetap diteruskan, modal teroka ini lebih berbentuk pelengkap kepada bentuk bantuan sedia ada,” katanya katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bersama Pelanggan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di sini hari ini.
“Inilah satu daripada agenda transformasi sektor pertanian yang sedang kita usahakan dengan gigih di Sarawak ketika ini, dengan harapan ia dapat membantu usaha kerajaan membasmi kemiskinan, terutama di kalangan penduduk luar bandar yang terlibat dengan bidang pertanian,” kata Uggah.
Hari bertemu pelanggan Mardi menampilkan pelbagai acara selama tiga hari di sini termasuk pameran, bengkel dan seminar pertanian serta pelbagai demonstrasi yang berkaitan dengan sektor itu. – Bernama