S’wak perluaskan ladang nanas menjelang 2030

KUCHING, 31 Mac – Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) merancang untuk meluaskan kawasan pengeluaran nanas di Sarawak kepada 16,000 hektar menjelang 2030, di mana 80 peratus hasil pengeluaran adalah untuk eksport.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas rancangan ini akan dijayakan dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

“Nanas daripada varieti MD2 telah dikenal pasti sebagai salah satu tanaman yang mampu melonjakkan sektor pertanian di negeri Sarawak,” katanya semasa pelancaran program Nanas [email protected] Merdeka kelmarin.

Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda MANRED Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Kementerian juga telah mensasarkan beberapa tanaman yang berpotensi untuk dimajukan secara komersial bagi mencapai matlamat untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluar dan pengeksport utama hasil pertanian menjelang 2030.

Program yang julung-julung kali diadakan itu, telah dibuat berkonsepkan Hari Bersama Pelanggan sebagai platform pusat sehenti yang menonjolkan LPNM sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pembangunan industri nanas, untuk bertemu dengan orang awam khususnya yang terlibat dalam industri nanas.

Melalui program tersebut, peserta industri dan kumpulan sasar dapat bertemu dengan LPNM untuk mencari titik penyelesaian berkenaan pelbagai persoalan dan isu-isu berhubung perkhidmatan agensi berkenaan. – Bernama

Datuk Roland Sagah Wee (kiri) merasai buah nanas versi terbaharu selepas merasmikan program Nanas [email protected] Merdeka Plaza Merdeka kelmarin. – Bernama