S’wak turunkan sasaran jumlah pelancong

KUCHING, 22 JUN – Sarawak menetapkan semula sasarannya dalam usaha menarik kunjungan pelancong kepada hanya dua juta orang tahun ini, kurang separuh daripada sasaran lima juta pelancong tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penurunan sasaran itu berpunca daripada kemunculan pandemik COVID-19, yang menyebabkan Sarawak terpaksa menutup pintunya kepada pelancong selama kira-kira tiga bulan, di samping melaksanakan langkah-langkah lain, yang menyebabkan jumlah kehadi-ran pelancong terus merudum.

“Sasaran kami tahun lepas adalah lima juta pelancong. Tahun ini kita pasti tidak dapat mengharapkan lima juta pelancong, bahkan saya akan merasa sangat gembira jika kita hanya dapat dua juta pelancong (masuk ke Sarawak),” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama industri pelancongan negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sejingkat, di sini, hari ini.

Tanpa memberikan angka perbandingan, beliau berkata kedatangan pelancong ke Sarawak antara Januari dan Mei tahun ini telah menurun 48.9 peratus dan kerugian yang dialami oleh industri pelancongan dianggarkan berjumlah hampir RM3 bilion dalam tempoh itu.

Katanya industri pelancongan kini bertumpu kepada pelancongan domestik untuk memulakan langkah pemulihan mereka.

“Kita tidak jangka Sarawak akan menerima ramai pelancong asing dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya, menjelaskan bahawa ia disebabkan penutupan sempadan yang masih dikenakan di kebanyakan negara, ditambah lagi dengan syarat kuarantin selama 14 hari untuk memasuki negeri ini selain tambang penerbangan yang mahal.

Abdul Karim berkata kementeriannya telah memperuntukkan RM1 juta untuk memperkenalkan Pakej Insentif Pengunjung dari 1 Julai hingga 31 Disember ini bagi memberi manfaat kepada syarikat pelancongan tempatan di Sarawak.

“Jumlah insentif akan bergantung kepada jumlah pelancong yang menempah melalui syarikat pelancongan dan jumlah hari pelancong menginap di negeri ini,” katanya. – Bernama

Menteri Pelancongan Kesenian dan Pelancongan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah memberi penerangan terhadap para pemain industri pelancongan Sarawak yang terjejas akibat penularan COVID-19 pada majlis dialog dengan pemain Industri Pelancongan ‘Sarawak Reopens For Tourism’ di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) kelmarin. – Bernama