S’wak umum bantuan ringankan beban penduduk

KUCHING, 21 JAN – Kerajaan Sarawak hari ini mengumumkan pakej kelima Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 5.0) melibatkan peruntukan berjumlah RM405 juta dalam inisiatif terbaharunya untuk meringankan beban penduduk negeri itu dalam menghadapi penularan COVID-19 dan banjir baru-baru ini.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bantuan khas itu akan disalurkan menerusi 11 langkah yang melibatkan pemberian diskaun, pengecualian dan penangguhan pembayaran lesen, premium tanah dan pinjaman industri kecil dan sederhana.

“Seperti dahulu, beberapa bantuan dipanjangkan lagi bagi tempoh enam bulan mulai Januari 2021 hingga Jun 2021,” katanya semasa mengumumkan pemberian bantuan khas itu dalam sidang media di pejabatnya di sini.

BKSS 5.0 ini melibatkan pemberian diskaun bil elektrik bulanan di antara lima peratus dan 25 peratus yang akan memanfaatkan kira-kira 642,000 isi rumah di negeri itu, selain diskaun bil air bulanan di antara 10 peratus dan 25 peratus untuk lebih 568,000 isi rumah.

“Langkah ketiga adalah (pemberian) diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai (yang) akan memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya. – Bernama

Orang ramai kelihatan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika menaiki perahu tambang di Tebingan Sungai Kuching, ketika Sarawak mengumumkan bantuan bagi mengurangkan bebanan penduduk akibat COVID-19. – Bernama