LONDON, 17 Sept – Tottenham diikat seri tanpa jaringan oleh Swansea, menyaksikan badi Wembely pasukan kendalian Mauricio Pochettino berterusan awal pagi tadi.
Pasukan Pochettino kini tiga perlawanan Liga Perdana tanpa kemenangan di laman sementara mereka selepas tewas kepada Chelsea, seri dengan Burnley dan Swansea.
Swansea kadangkala bergantung pada nasib selepas menyaksikan percubaan Spurs terkena palang dan tiga rayuan penalti ditolak, tetapi pasukan tuan rumah hanya perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal menembusi benteng pasukan Paul Clement.
Tottenham berharap mereka sudah menamatkan topik sumpahan di Wembley, yang menjadi pangkalan mereka musim ini sementara White Hart Lane diubahsuai, dengan menewaskan Borussia Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara baru-baru ini. Tetapi itu terbukti hanya harapan dan malah Harry Kane, yang menjaringkan dua gol menentang Dortmund, gagal menyelamatkan mereka.
Ia memerlukan satu aksi menyelamat minit kelapan dari Lukasz Fabianski untuk menepis keluar sepakan percuma Harry Kane.

Tindak balas penjaga gol Swansea itu diuji sekali lagi dua minit kemudian apabila Son Heung-Min menemui ruang dan membuat percubaan dari sudut sukar sehingga memaksa Fabianski menumbuk keluar bola dari jarak dekat.
Satu lagi percubaan menyaksikan rembatan Son tersasar, sebelum Swansea akhirnya membuat ancaman dalam satu serangan balas pada minit ke-25.
Renato Sanches membuat permulaan hambar, tetapi kepantasan kakinya memberikan peluang kepada Tammy Abraham untuk mengumpan Tom Carrol untuk membuat percubaan ke gawang.
Tottenham berusaha untuk mencipta satu rekod kelab baru dengan menjaringkan gol dalam 30 perlawanan Liga Perdana di gelanggang sendiri, tetapi mereka mendapati Swansea sukar untuk ditembusi. – AFP