STOCKHOLM, 8 OGOS – Kadar kelahiran pada musim bunga 2022 di Sweden mencapai tahap paling rendah dalam tempoh lebih dua dekad, menurut angka dikeluarkan oleh Statistics Sweden, kelmarin.
Antara Januari dan April tahun ini, kadar kelahiran adalah 1.57 anak damit bagi setiap wanita, berbanding 1.69 anak damit dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Kadar kelahiran mengalami penurunan mendadak menurut statistik,” lapor Xinhua memetik, seorang profesor demografi di Universiti Stockholm, Gunnar Andersson memberitahu Televisyen Sweden, kelmarin.
Apabila orang ramai diminta berada di rumah semasa pandemik COVID, kadar kelahiran meningkat kepada 1.69 anak damit bagi setiap wanita, tetapi dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, bilangan kelahiran menurun kepada 35,467 anak damit, menurut Statistik Sweden.
Angka itu kurang 2,483 daripada tempoh yang sama tahun lalu dan mencatatkan paras terendah sejak 20 tahun lalu.
“Dalam jangka pendek, mungkin terdapat pembolehubah rawak seperti yang dapat diperhatikan pada Januari. Bagaimanapun, paras itu jauh lebih rendah daripada sebelumnya,” kata Andersson.– Bernama