Sweden lantik konsul kehormat baharu

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala dan persahabatan antara Sweden dan Negara Brunei Darussalam, kerajaan Sweden telah melantik konsul kehormat baharu di Negara Brunei Darussalam, Dayang Nur Judy binti Abdullah melalui Surat Suruhanjaya yang dikeluarkan dan ditandatangani oleh His Majesty Carl XVI Gustaf, King of Sweden and Menteri Luar Negeri Sweden, Anne Linde.

Dayang Nur Judy menerima tauliah pelantikan Surat Exequatur yang ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof semasa acara pengenalan di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Surat Exequatur itu disampaikan oleh Pemangku Pengarah Protokol dan Hal Ehwal Konsular di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Haji Muhamad Fakhri bin Haji Mohd Taib dan turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Protokol dan Hal Ehwal Konsular, Awang Soekarddy bin Haji Abdullah Sani serta Pegawai Protokol dan Hal Ehwal Konsular bagi Sweden, Hajah Alfizah Shahnoel.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Duta Besar Sweden ke Singapura dan Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Niclas Kvarnstrom melahirkan penghargaan atas lantikan Dayang Nur Judy dan berharap dapat bekerjasama dengannya untuk mengeratkan lagi hubungan antara Sweden dan Brunei.

Dayang Nur Judy menerima surat Exequatur daripada Haji Muhamad Fakhri. – Gambar serahan Konsulat Sweden