Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sweden tangkap lelaki ‘dikehendaki’

    STOCKHOLM, 3 Ogos – Seorang lelaki warga China yang disyaki melakukan jenayah ekonomi dan rasuah di negara asalnya telah ditangkap di Sweden, kata pihak berkuasa kelmarin.

    Penyiar awam Sweden, SVT menyifatkan suspek berusia 54 tahun dikenali sebagai ‘salah seorang yang paling dikehendaki di China’, sambil menambah bahawa dia telah ditahan di Stockholm sejak 25 Jun lalu.

    SVT berkata lelaki itu, yang merupakan ketua syarikat bijirin dan beras dagangan milik negeri, melarikan diri dari China pada tahun 2011 apabila polis China mendapati bahawa dia didakwa memindahkan sejumlah wang dari syarikat itu ke bank-bank di luar negara.

    Pegawai media bagi Pihak Berkuasa Pendakwaan Sweden, Karin Rosander memberitahu AFP bahawa Beijing ‘telah meminta dia untuk di ekstradisi’ ke China untuk mendakwanya di sana.

    Rosander, yang enggan mendedahkan identiti lelaki itu atau bila penangkapan itu berlaku, berkata pihak berkuasa Sweden sedang mengkaji ‘sama ada terdapat alasan yang sah untuk mengekstradisinya ke China’.

    Dia dituduh telah merampas hampir 10 juta Euro (lebih daripada AS$ 11 juta) dari syarikat itu, menurut SVT. China telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa untuknya dan kesnya telah dilaporkan secara meluas dalam media global.

    Rosander berkata Sweden tidak mengekstradisi suspek dengan mudah, terutama jika kehidupan mereka mungkin berada dalam bahaya atau jika negara terlibat mempunyai hukuman mati. Lelaki itu pergi ke Amerika Syarikat bersama bekas isterinya selepas melarikan diri dari China pada 2011 dan mereka ditangkap di sana kerana disyaki melakukan pengubahan wang haram, menurut SVT lagi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda