BRISBANE, AUSTRALIA, 24 MAC – Ashleigh Barty berkata hari ini dia akan menarik diri daripada ranking WTA selepas mengumumkan persaraannya, justeru membuka pintu kepada pemain Poland, Iga Swiatek untuk menjadi nombor satu dunia.
Juara Grand Slam tiga kali dari Australia itu telah menduduki tempat teratas lebih daripada dua tahun tetapi mengejutkan dunia sukan semalam dengan mengumumkan persaraan pada umur 25 tahun.
Swiatek, 20 tahun, mempunyai 2,204 mata ranking di belakang Barty, tetapi terdapatnya nombor satu baharu pada Isnin apabila senarai baharu keluar dan pemain Poland itu bakal mengisi tempat tersebut. Swiatek, yang menjadi popular apabila memenangi Terbuka Perancis pada 2020 dan telah menunjukkan kekonsistenan sejak itu, memberitahu wartawan di Terbuka Miami bahawa dia berusaha untuk tidak terlalu memikirkan mengenainya.
“Mereka berkata saya mungkin akan menjadi pemain nombor satu dunia,” katanya. “Secara terus-terang, apabila kami benar-benar memikirkan mengenai situasi dan apabila kami membaca semua berita, semua peraturan yang mungkin dilaksanakan, kami sedar tidak ada sebab kami memikirkannya sekarang kerana kami mempunyai masa yang amat singkat untuk bersiap sedia untuk satu lagi kejohanan.
“Kami perlu memberi tumpuan pada kerja kami.” Swiatek buat masa sekarang mendahului 691 mata di depan tempat ketiga Maria Sakkari dari Greece selepas menang di Indian Wells minggu lalu, kejuaraan keduanya dalam kejohanan selepas meraih kemenangan di Doha pada Februari.
Bercakap di khalayak ramai untuk kali pertama sejak mengumumkan persaraannya, Barty memberitahu sidang media di Brisbane: “Nama saya akan dikeluarkan daripada senarai dalam ranking seterusnya. – AFP