Wednesday, April 17, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Swiatek julang trofi Terbuka Miami

    MIAMI, 3 APRIL – Musim impian Iga Swiatek diteruskan apabila pemain nombor satu dunia tersebut merangkul kejuaraan WTA 1000 ketiga berturut-turut selepas menewaskan Naomi Osaka pada pusingan final Terbuka Miami kelmarin.

    Pemain Poland berusia 20 tahun tersebut menjadi pemain keempat dan termuda memenangi Sunshine Double Indian Wells dan Miami pada tahun yang sama selepas Steffi Graf, Kim Cljisters dan Victoria Azarenka dengan 6-4, 6-0 kemenangan ke atas Osaka.

    Swiatek, yang akan disahkan secara rasmi sebagai pemain nombor satu dunia apabila ranking baharu WTA akan diumumkan Isnin, kini telah memenangi 17 perlawanan berturut-turut, kemenangan tersebut termasuk gelaran di Doha, Indian Wells dan kini Miami.

    Osaka, 24, menikmati kembali prestasi yang dialu-alukan di Florida walaupun final pertama juara Grand Slam empat kali itu sejak Terbuka Australia pada 2021 berakhir dengan kekalahan.

    “Saya berasa bertuah untuk menjadi antara pemain yang pernah menjuarainya dua kali sebelum ini, saya tahu sukar untuk bermain dalam kejohanan ini secara berturut-turut tetapi saya mengambil langkah demi langkah,” kata Swiatek, yang memenangi Grand Slam sulungnya di Terbuka Perancis 2020 sebagai pemain berusia 19 tahun dan akan menjadi pemain pilihan untuk memenangi satu lagi gelaran Roland Garros pada bulan hadapan di padang kegemarannya.

    Swiatek menuju ke pusingan final dalam kerjaya ketujuh selepas 16 kemenangan berturut-turut dengan pemain terakhir yang mempunyai kemenangan sebanyak 16 atau lebih secara berturut-turut ialah Osaka, antara Cincinnati pada 2020 dan Terbuka Miami pada tahun lalu.

    Osaka telah melakukan servis dengan baik dalam kejohanan tersebut tetapi dipatahkan oleh Swiatek untuk menjadikan kedudukan 3-2 pada perlawanan pertama dan mula kelihatan lemah. – AFP

    Reaksi Naomi Osaka (kiri) dan Iga Swiatek dari Poland semasa bergambar dengan trofi mereka selepas final perseorangan wanita di Terbuka Miami 2022, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...