ZURICH, 21 FEB – Syarikat Penerbangan Swiss (SWISS) menangguhkan sementara penerbangan antara Zurich dan Kiev bermula 21 sehingga 28 Februari, berikutan ketegangan di tenggara Ukraine, memetik wakil syarikat penerbangan itu, lapor Sputnik.
Menurut jurucakap SWISS, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan penumpang dan anak kapal.
Pihak SWISS sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Ukraine dan memantau rapat situasi di negara itu.
Sementara itu pada Sabtu lalu, Jabatan Hal Ehwal Luar Persekutuan Switzerland (FDFA) menggesa warga Switzerland meninggalkan wilayah Donetsk dan Luhansk di tenggara Ukraine (Donbas). Menurut FDFA, Switzerland bersedia untuk menyokong dialog yang bertujuan untuk menyelesaikan konflik Ukraine secara aman. – Bernama