Syafiq Farhain bebas COVID-19

Penyanyi Syafiq Farhain mengalami penyusutan berat badan secara mendadak selepas dijangkiti pandemik COVID-19, awal bulan ini.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Sayang Maafkan Aku itu lega apabila kini bebas pandemik berkenaan, malah sudah kembali menjalankan tugas sebagai anggota bomba, sejak kelmarin selepas menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu.

Syafiq berkata, dia bersyukur tidak mengalami simptom berat, sebaliknya hanya mengalami sakit kepala, demam dan hilang deria rasa.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami simptom teruk seperti sesak nafas. Mulanya, saya hanya pening kepala, tetapi saya menyangkakan hanyalah pening kepala biasa sahaja. Biasanya, pening kepala akan hilang selepas bangun tidur. Bagaimanapun, kali ini agak berbeza kerana sakitnya masih terasa.

“Pada hari kedua, saya mula rasa seram sejuk, namun masih menyangka ia hanya demam biasa. Jadi, saya hanya mengambil ubat demam hinggalah hari ketiga dan keempat, deria rasa saya mula terganggu.

Syafiq Farhain merasa lega apabila kini bebas COVID-19, malah sudah kembali menjalankan tugas sebagai anggota bomba. – Agensi

“Daripada situ, saya sedar ia bukanlah demam biasa, jadi membuat keputusan untuk menjalani ujian calitan dan disahkan positif,” katanya kepada media.

Sentiasa berfikiran positif ketika dalam tempoh kuarantin, Syafiq berkata, dia tidak tahu daripada mana mendapat jangkitan COVID-19. Namun, merasa bersalah apabila menyusahkan teman-temannya.

“Sejujurnya, saya langsung memikirkan perkara bukan-bukan, bagaimana penyakit ini melarat dan sebagainya. Cuma, paling dibimbangkan sekiranya menyusahkan kontak rapat khususnya teman di tempat kerja.

“Bagaimanapun, bukan saya seorang sahaja di tempat kerja yang didapati positif, sebaliknya ada beberapa rakan sekerja lain turut dijangkiti. Bermakna, ia bukanlah berpunca daripada saya,” katanya.

Berkongsi kerjaya nyanyian, Syafiq yang juga anak keempat kepada vokalis kumpulan Iklim, Allahyarham Saleem berkata, dia tetap merasakan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila banyak undangan persembahan dibatalkan.

Katanya, dia tidak sempat menjayakan sebarang persembahan terbuka sejak hampir setahun lalu. Sebaliknya, hanya menjayakan dua persembahan korporat.

“Saya risau peminat terlupa kewujudan dalam industri muzik memandangkan tiada sebarang undangan persembahan dijayakan, sejak setahun lalu. Tidak dinafikan, ada kemudahan media sosial, tetapi medium ini lebih untuk peminat.

“Melalui undangan persembahan itulah kami golongan penyanyi menjana sumber pendapatan. Walaupun mempunyai pekerjaan tetap, namun pendapatan sampingan hasil menyanyi banyak membantu saya membayar pelbagai komitmen.

“Disebabkan PKP, pelancaran single terbaharu berjudul Kau Bidadari Ku juga sudah beberapa kali tertangguh. Proses rakaman lagu sudah siap, hanya menunggu masa menjalani penggambaran video muzik.

“Sepatutnya, penggambaran video muzik sudah siap, tetapi terpaksa ditangguhkan disebabkan PKP. Kru positif dan kemudiannya, saya pula dijangkiti COVID-19 apabila penggambaran sudah dibenarkan. Jadi, penggambaran tertangguh lagi,” katanya.

Syafiq berkata, dia bersyukur mempunyai kerjaya tetap, belum pernah terlintas dalam fikiran untuk meninggalkan kerjaya berkenaan sejak bergelar penyanyi. Lagi pun, jadual kerjanya tidak pernah terganggu. – Agensi