Syafiq Kyle belajar bahasa Thailand

Aktor, Syafiq Kyle, 28, terpaksa akur penggambaran filem aksi terbaharu kerjasama produksi Malaysia dan Thailand ditangguhkan berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan virus COVID-19 yang menyerang seluruh dunia.

Katanya, dia tidak sabar menjalani penggambaran filem Algojo (The Killer) terbitan MRB Network Sdn Bhd yang sepatutnya bermula bulan lalu.

Demi menjayakan filem aksi itu, Syafiq berkata, dia mempelajari bahasa Thailand dan seni mempertahankan diri kerana penggambaran di Malaysia dan Thailand.

“Saya sudah selesai mengikut kelas bahasa Thailand dan seni mempertahankan diri.

“Saya punya teruja hingga pernah mencadangkan penggambaran dilakukan di lokasi terpencil, tetapi penerbit tidak mahu mengambil risiko dan nama terjejas jika ingkar dengan arahan PKP ini.

Syafiq Kyle akan menjalani penggambaran dua filem tahun ini. -Agensi

“Bagaimanapun, saya patuhi arahan PKP dan berdoa keadaan kembali pulih seperti sedia kala. Selain filem Algojo, saya juga sepatutnya menjalani penggambaran sebuah filem lagi, tetapi ia juga ditangguhkan. Saya tak tahu apa yang akan terjadi pada jadual selepas ini,” katanya kepada BH Online.

Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-32 itu berkata, dia tidak pasti adakah jadual terganggu berikutan banyak perancangan berubah disebabkan virus COVID-19.

“Sasaran saya mahu menjayakan sekurang-kurangnya satu drama, tahun ini. Ia memandangkan saya tak sempat berbuat demikian, tahun lalu. Bagaimanapun, dengan keadaan hari ini, saya tak pasti adakah mampu terima tawaran drama.

“Saya melihat tahun 2020 akan berlalu seperti itu sahaja. Kita diduga virus COVID-19, jadi segala perancangan terpaksa ditunda. Bila wabak ini akan berakhir pun tidak diketahui.

“Kemudian bakal menyambut Ramadan, diikuti Syawal. Sedar tak sedar, akan sampai ke hujung tahun. Jadi, saya tak sempat berlakon drama lagi memandangkan sudah terikat dengan penggambaran dua filem,” kata yang diiktiraf sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Anugerah Telleygeram oleh sebuah saluran indie, baru-baru ini.

Menewaskan Datuk Rosyam Nor, Namron dan Zul Ariffin, Syafiq berkata, dia terharu apabila penampilan menerusi filem Pusaka meraih perhatian. Anak jati Kuala Lumpur itu tidak menyangka berjaya menewaskan pelakon hebat lain. – Agensi