Syafiq Kyle mahu pegang pelbagai watak

Lebih selesa digelar pendukung watak, Syafiq Kyle tidak pernah menetapkan hanya mahu menjadi teraju utama atau hero dalam drama atau filem.

Syafiq yang digelar ‘Hero Malaya’ berkata, sebagai pelakon dia mahu menghidupkan apa sahaja watak yang ditawarkan, baik besar mahu pun kecil.

“Jika saya berfikir untuk terima watak hero sahaja, pasti rugi kerana tidak dapat merasai karakter berbeza. Saya juga mahu cuba watak antagonis atau ‘sidekick’.

“Misalnya, dalam filem Polis Evo 3, saya hidupkan watak pembantu dalam 20 babak.

“Bulan ini, InsyaAllah saya akan memulakan penggambaran filem Algojo yang bersifat antihero bersama Amerul Affendi,” katanya.

Syafiq berkata, dia mahu terus belajar dan merebut peluang yang dapat meningkatkan kemahiran dan penguasaannya dalam bidang lakonan.

“Ada yang beritahu saya kerap berlakon filem dan kurang muncul di televisyen (TV). Kita perlu ingat, tawaran tidak kira filem atau drama adalah bersifat bermusim.

“Mungkin sekarang saya banyak berlakon filem. Tapi sebenarnya, saya mengambil manfaat dan mengimbangi peluang diberi.

“Ketika tidak berlakon drama, saya belajar banyak perkara mengenai filem,” katanya yang tampil pada pertunjukan fesyen koleksi Rico Rinaldi Summeraya 2020 di sini, baru-baru ini. – Agensi

Syafiq Kyle mahu mencuba pelbagai watak untuk terus belajar dan merebut peluang yang dapat meningkatkan kemahiran dan penguasaannya dalam bidang lakonan. – Agensi