Syafiq Kyle takut watak tidak menjadi

Mengakui dirinya seorang yang terlalu berfikir tentang hasil kerja, pelakon Syafiq Kyle adakalanya berasa takut untuk melihat lakonan sendiri dan menerima pandangan orang.

Menurut Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 30, beliau mahukan setiap watak yang dilakonannya betul-betul berjaya dan boleh dibanggakan.

Bagi memastikan beliau boleh mendalami setiap watak dalam lakonan, Syafiq tidak pernah penat untuk menimba ilmu menerusi kelas lakonan bersama pengajar yang berpengalaman.

Bukan hanya mendapat ilmu lakonan, Syafiq juga memberitahu menerusi kelas sebegitu beliau dapat membantu orang sekeliling untuk menyelesaikan masalah selain meningkatkan keyakinan diri.

Syafiq ditemui ketika sidang media pelancaran drama terbaharu lakonannya berjudul Seribu Nina di Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Bercakap tentang drama arahan Umi Salwana Omar ini, kata Syafiq ia adalah sebuah karya yang boleh dibanggakan dan tidak pernah malu untuk mempromosikannya.

Menerusi drama tayangan di aplikasi Viu ini, Syafiq memainkan empat watak berbeza dan ternyata ia memberi satu kepuasan dalam kerjaya seninya.

“Dalam setiap drama saya hanya akan memfokuskan kepada hasil lakonan sendiri sama ada ia terbaik atau tidak. Dalam projek kali ini saya boleh katakan tidak malu untuk mempromosikannya.

“Bila lagi saya nak terlibat dalam drama sebegini? Selalunya orang hanya melihat satu watak sahaja dalam sebuah drama, tetapi kali ini saya boleh tunjukkan bakat menerusi empat watak berbeza,” jelasnya. – Agensi

Salah satu karakter yang dimainkan oleh Syafiq Kyle dalam Seribu Nina. – Agensi