Syafiq tiada masalah dengan keluarga tiri

Penyanyi Syafiq Farhain mendedahkan tiada masalah mengenai hubungannya bersama ibu tiri, Julia Bachok dan keluarga sehingga ke hari ini.

Menurut Syafiq atau nama sebenarnya, Nursyafiq Farhain AM Salim, pada awal pemergian bapanya yang juga penyanyi legenda, Allahyarham Saleem mereka mempunyai sedikit krisis namun segalanya telah diselesaikan. Malah, hubungannya bersama adik-beradik tiri yang lain juga baik-baik sahaja biarpun jarang berhubung.

“Selepas pemergian arwah (Saleem), adalah juga krisis keluarga itu sikit-sikit. Seingat saya minggu pertama selepas arwah meninggal dunia. Saya pun tak ambil peduli sangat.

“Saya anggap habis situ, situlah. Setakat ini, Alhamdulillah tiada masalah dan okey sahaja. Tiada gangguan. Saya pun tak suka stres dengan masalah-masalah ini,” dedahnya ketika ditemui pada sidang media secara virtual Mobile Legend:Anonymoz Merdeka Challenge 2021.

Dalam sidang media itu, Syafiq turut akui hatinya sudah dimiliki oleh seorang gadis selepas diasak pelbagai pertanyaan mengenai perkara tersebut. Bagaimanapun, menurut Syafiq dia lebih selesa untuk tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai kisah peribadi berbanding kerjayanya.

“Bukanlah hendak berahsia. Kalau orang tanya sama ada saya ada teman wanita, saya jawab iya, ada. Tetapi saya tidak suka berkongsi lebih lanjut.

“Dia wanita biasa saja. Bukan artis, bukan juga pegawai bomba seangkatan dengan saya. Itulah saya cakap, tipulah kalau saya ini tak ada teman wanita sudah tua kerepot macam ini, mestilah ada,” katanya lagi.

Mengenai pembabitannya dalam Mobile Legend: Anonymoz Merdeka Challenge yang diadakan pada 29 sehingga 31 Ogos ini, Syafiq bakal menghiburkan para peserta yang terlibat secara atas talian dengan lagu-lagu patrotik. Selain Syafiq, penyanyi Harry Khalifah atau juga dikenali sebagai Apak turut terbabit dalam program itu. – Agensi

Syafiq Farhain mendedahkan tiada masalah mengenai hubungannya bersama ibu tiri, Julia Bachok dan keluarga sehingga ke hari ini. – Agensi