Syahkampung pamer aksi hebat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Hanif Ariz memastikan pasukan Syahkampung mendapat mata penuh menerusi sepakan percuma dalam perlawanan penuh aksi Liga Futsal Brunei 2021 di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.

Pasukan Syahkampung berjaya menewaskan pasukan Street United dengan keputusan 3-2. Pada awal babak perlawanan, Umar Abdul Aziz terpaksa menyalahkan diri sendiri atas kesilapan menghadiahkan jaringan kepada pasukan lawan di minit ke-4 tetapi dengan kepantasan Mohd Zainulmariffin berjaya menebus kehampaan itu dengan membuat jaringan penyamaan di minit ke-5.

Gol penyamaan 1-1 itu te-rus kekal sehingga masa pertama berakhir dan kemudian pada masa kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha melakukan serangan tetapi pasukan Syahkampung lebih bijak menggunakan kesempatan dan berjaya menjaringkan gol yang disempurnakan oleh Mohd Zainulmariffin di minit ke-26, menjadikan keputusan 2-1.

Melihat ketangkasan pemain lawan, Street United sempat menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Mohd Ulfi pada minit ke-35.

Pasukan Syahkampung terus bangkit untuk menambah mata jaringan dan impian pasukan tercapai apabila Hanif Ariz berjaya menghadiahkan kemenangan buat Syahkampung menerusi jaringan percuma di minit ke-38 sekali gus memuktamadkan kemenangan sulung buat pasukannya.

“Kita tiada pilihan lagi selain mesti menang dalam setiap perlawanan dan saya gembira azam tersebut dapat direalisasikan oleh pemain,” jelas Ketua Jurulatih Pasukan Syahkampung, Hasrulraizan Haji Kahar.

Beliau turut mengakui menerima saingan dan cabaran sengit daripada pemain Street United namun beliau memuji kebolehan dan kegigihan anak buahnya yang berjaya mempamerkan permainan yang baik pada keseluruhannya.

Sorakan kegembiraan buat pasukan Syahkampung selepas menewaskan pasukan Street United 3-2 dalam perlawanan Liga Futsal Brunei 2021 di Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, baru-baru ini.