SYAITAN terpaksa bercuti sebulan! Jangan sangka pelajar sekolah dan cikgu-cikgu sahaja yang ada musim cuti panjang. Syaitan pun akan bercuti panjang. Walaupun kalau boleh, mereka ingin terus-menerus bekerja bagi memastikan misi mereka berjaya dengan cemerlang.
Namun jangan sangka syaitan ‘cuci tangan’ daripada menggoda anak Adam. Sebelum bercuti, syaitan telah menggunakan sepenuhnya 11 bulan sebelum Ramadan untuk menerapkan segala sifat mazmumah dalam diri anak Adam kerana syaitan takkan bersama anak Adam ketika Ramadan.
Dipasaknya kukuh sifat-sifat buruk, kelakuan dan perbuatan yang bertentangan dengan syariat, seterusnya memujuk manusia agar terus mengerjakan larangan Allah. Bersungguh-sungguh si syaitan menyeru manusia kepada kejahatan dan menjauhkan manusia daripada kebaikan.
Sementara syaitan bercuti, maka lakukanlah ketaatan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Amalan yang wajib dilakukan dengan ikhlas dan penuh penghayatan.
Amalan sunat pun sama, ditambah dengan sukarela. Dengan ini, semua noda hati yang dituai ketika syaitan bebas menggoda anak adam dapat dicuci kembali. Nabi SAW bersabda:
“Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai syaitan-syaitan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Jika syaitan sedih menjelang Ramadan, manusia sepatutnya perlu bergembira dan mengalu-alukan bulan yang barakah ini. Jom sama-sama tingkatkan amal ibadah sepanjang Ramadan. Semoga natijah akhir iaitu takwa mampu dicapai. – Agensi