Gema takbir di pagi 1 Syawal, mengundang sayu buat pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, Syamel dan Ernie apabila terpaksa meraikan hari mulia tanpa ditemani keluarga dan sanak-saudara tercinta.
Andai sebelum ini sudah menjadi rutin mereka mendakap dan mencium tangan kedua orang tua memohon kemaafan, namun, kali ini, semua itu tidak dapat dilakukan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang melarang aktiviti rentas daerah.
Berkongsi rasa terkilan, Syamel memberitahu, mengikut perancangan awal, mereka mahu membawa semua anggota keluarga kedua-dua belah bercuti dan meraikan Lebaran. Namun, larangan merentas daerah dan negeri menguburkan hasrat pasangan yang cukup popular dengan lagu Aku Cinta itu.
“Sejak awal lagi kami sudah merancang meraikan 1 Syawal bersama keluarga kedua-dua belah pihak.
“Kami mahu sewa sebuah tempat dan bergotong-royong memasak juadah raya, membakar lemang dan sebagainya.

“Memang seronok apabila dua keluarga dapat berkumpul. Namun, apabila kerajaan mengumumkan PKP 3.0 seminggu sebelum Aidilfitri menjelang, kami bingung dan tidak tahu hendak cakap apa. Keluarga mentua menetap di Klang manakala rumah orang tua saya di Ampang.
“Kami pula di Kuala Lumpur. Macam mana hendak raikan bersama? Takkanlah kami hendak rentas negeri pula,” katanya kepada media.
Dengan perkembangan sekarang, apatah lagi lonjakan kes jangkitan COVID-19, Syamel atau nama sebenar, Syameel Aqmal Fodzly sukar membayangkan sambutan Aidilfitri kali ini, apatah lagi selepas hidup berdua.
“Sejak dilahirkan, kami tidak pernah berpisah dengan keluarga masing-masing.
“Bayangkan, selepas diijabkabulkan, kami sudah siapkan jadual iaitu dua minggu di rumah keluarga mentua dan dua minggu lagi di rumah keluarga saya.
“Beg pakaian dan peralatan mandian sentiasa ada dalam kereta untuk memudahkan urusan kami yang ibarat ‘orang nomad’ ini.” – Agensi