Syamel miliki bakat berlakon

Bakat magis penyanyi, Syamel usah perlu dipertikaikan kerana kemampuannya mendendangkan lagu dengan baik pernah diiktiraf menerusi beberapa pertandingan besar.

Namun, siapa sangka, Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly juga hebat di gelanggang lakonan. Sebelum ini, Syamel menunjukkan lakonan beremosi menerusi video muzik lagu dendangannya seperti Curang dan Lebih Sempurna.

Terbaharu, Syamel membintangi drama pendek dalam talian berjudul Lock In arahan Erma Fatima. Teman baiknya, Ernie Zakri pun turut berlakon untuk drama yang menampilkan ramai selebriti popular.

“Peluang berlakon dalam drama Lock In terjadi secara spontan. Secara kebetulan, saya dan Ernie mewujudkan akaun Tiktok secara suka-suka sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPP).

“Nak dijadikan cerita, salah satu video yang dimuat naik dalam Instagram (IG) ditanya Datin Seri Umie Aida. Beliau mengajak saya berlakon sekali dalam drama Lock In. Saya pun tak fikir panjang dan bersetuju.

“Dalam hati berlakon di bawah arahan Erma, siapa yang tak nak. Pada masa yang sama, Umie tanya adakah Ernie sudi berlakon juga. Saya panjangkan pertanyaan pada Ernie dan dia juga mahu mencuba,” katanya kepada media.

Penyanyi lagu mencipta populariti menerusi lagu Hidup Dalam Mati itu berkata, dia dan Ernie diberikan skrip selepas bersetuju.

“Pengalaman berlakon drama Lock In membuka dimensi baharu buat saya. Apa yang menyeronokkan dan menguji diri apabila semuanya kena lakukan sendiri.

“Paling mencabar nak kena pastikan paras mata sama dengan pelakon lain ketika berlakon secara sendirian dan berasingan. – Agensi

Syamel seorang penyanyi yang berbakat, juga memiliki kebolehan dalam bidang lakonan. – Agensi