Syarat aktiviti sukan di kawasan terbuka lebih ringan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Aktiviti sukan termasuk sukan berkumpulan adalah antara yang dibenarkan dijalankan semasa fasa peralihan, bagi mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Acara sukan yang dibenarkan dan digalakkan tersebut terutama sekali adalah bagi sukan di kawasan terbuka, yang mana jumlah kapasiti pemain akan disesuaikan nanti, misalnya dalam sukan golf yang diadakan dalam kawasan terbuka.

Perkara tersebut adalah antara yang dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Dato menambah bahawa syarat bagi aktiviti sukan di kawasan terbuka adalah lebih ringan berbanding aktiviti sukan yang diadakan dalam kawasan tertutup mahupun di dalam dewan dengan mengehadkan jumlah kapasiti pengguna di dalamnya pada satu-satu masa.

Meskipun ukuran dewan adalah besar, ia hanya dihadkan kepada seramai 200 orang sahaja dalam satu masa dan paling penting adalah penjarakan fizikal dapat diamalkan semasa menggunakan dewan tersebut.