Syarat ketat kemasukan ke Sarawak dilanjutkan

KUCHING, 15 OKT – Kerajaan negeri Sarawak hari ini melanjutkan tatacara kemasukan ke negeri itu sehingga 15 Nov ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah, yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, berkata keputusan itu dibuat selepas menilai keadaan semasa COVID-19 yang sebilangan besar berpunca dari luar Sarawak.

“Tatacara kemasukan yang dikuatkuasakan bermula 4 Oktober lalu dan sepatutnya berakhir pada 18 Oktober ini akan disambung sehingga 15 November 2020. Keputusan ini diambil kerana sehingga hari ini, terdapat 59 kes positif COVID-19 dan 50 peratus daripadanya mempunyai sejarah perjalanan mengunjungi Sabah dan Labuan serta 15 peratus dari Semenanjung Malaysia.

“Oleh yang demikian, melihat kepada keadaan di sekeliling kita yang masih ‘hangat’, Kabinet (negeri) berpendapat prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilaksanakan daripada 4 Okt lalu dikekalkan selain untuk menjaga keselamatan rakyat Sarawak,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini. – Bernama