Syarat perjalanan selamat belum ditetapkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Status perundingan berkaitan gelembung perjalanan hijau atau perjalanan selamat antara negara ini dan negara-negara jiran serta negara sahabat ada dicadangkan dan ia masih dalam pertimbangan.

Ini kerana syarat-syaratnya belum lagi ditentukan sama ada oleh negara ini atau negara luar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menjawab soalan mengenainya pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, negara ini dan negara luar sedang melihat dan menilai sama ada pembukaan sempadan kedua-dua belah pihak sesuai atau sebaliknya.

Kerajaan juga akan mengkaji negara-negara berisiko rendah dan akan mengadakan perbincangan bersama negara-negara terbabit untuk menentukan syarat-syarat yang perlu dilaksanakan.

“Perkara itu belum lagi dipersetujui dengan negara-negara berkenaan dan masih lagi dalam perundingan,” jelasnya.