Syarikat China beri ‘harapan baharu’ pada industri penternakan

MENOUFIA, MESIR – Di sebuah kilang makanan ternakan di Kota Sadat di wilayah Menoufia, utara ibu kota Mesir Kaherah, para pekerja sedang memuatkan makanan ayam ke atas trak dari ladang tempatan yang menunggu dalam barisan.

“Makanan ayam yang dihasilkan oleh syarikat New Hope popular di kalangan penternak tempatan kerana kualitinya yang baik,” jelas Ibrahim Hassan,36, seorang pemandu kepada Xinhua.

Hassan, yang bekerja di salah sebuah ladang ayam tempatan sebagai penghantar makanan ayam, merujuk New Hope Egypt Co., Ltd., kilang makanan pertama yang ditubuhkan sedekad lalu di Mesir oleh New Hope Liuhe Co., Ltd., sebagai syarikat China terkemuka dalam sektor makanan ternakan, penternakan haiwan dan industri makanan.

“Jumlah ayam di ladang kami mencecah tiga juta ekor, dua pertiga diberi makanan yang dihasilkan New Hope,” kata Hassan.

Nisbah penukaran makanan adalah ukuran kecekapan pengeluaran ayam atau ternakan.

Kelihatan beberapa pekerja sibuk melakukan tugas masing-masing di kilang New Hope Egypt Co. Ltd. – Xinhua
Pekerja menghasilkan makanan ayam di kilang New Hope Egypt Co., Ltd. di wilayah Menoufia, Mesir. – Xinhua

“Semakin rendah nisbah makanan pada daging, semakin tinggi tahap kecekapan pengeluaran dan faedah ekonomi. Sebelum kami datang ke sini, nisbah dalam industri makanan Mesir ialah 1.8, tetapi sekarang, dengan menggunakan makanan kami, angka itu telah menurun kepada 1.5,” kata Su Hao, pengurus besar New Hope Egypt Co., Ltd.

Sumber yang digunakan oleh New Hope dalam pengeluaran makanan di Mesir diimport dari China, yang meningkatkan keupayaan ayam pedaging untuk menyerap nutrien daripada makanan dan mengurangkan pengeluaran nitrogen.

“Kami memanggil produk sebagai makanan biologi, yang dicirikan oleh kualiti tinggi, mesra alam dan kecekapan,” kata Yang Luofan, pengurus jabatan kawalan kualiti syarikat.

New Hope mempunyai empat buah syarikat pembuatan makanan ternakan dan satu syarikat penternakan ayam di Mesir, dengan pelaburan sekira-kira AS$90 juta, mewujudkan 800 pekerjaan untuk rakyat Mesir, kata Shao Wen, ketua New Hope di Mesir yang bergabung dengan jabatan perniagaan luar negara New Hope Liuhe Co., Ltd.

Perluasan New Hope di Mesir berada di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang dicadangkan China bagi mencari perkongsian menang-menang antara negara yang mengambil bahagian.

“Kami mengikuti langkah BRI dengan teliti, disokong oleh lebih 40 tahun kepakaran pasukan teknikal China kami dan menggunakan teknologi pengeluaran terkemuka untuk memproses makanan berkualiti tinggi, yang telah memainkan peranan dalam pembangunan industri pertanian dan penternakan Mesir,” kata Shao, sambil menambah ramai rakyat Mesir telah memperoleh kerjaya yang lebih baik. Mohamed Ramadan menyertai New Hope Egypt Co. Ltd 10 tahun lalu dan beliau kini merupakan timbalan pengurus bahagian pengeluaran syarikat tersebut.

“Apabila saya mula-mula menyertai New Hope, saya adalah pengurus gudang. Melalui latihan dan pembelajaran berterusan di syarikat, saya secara beransur-ansur menguasai teknologi pengeluaran makanan ternakan termaju dan akhirnya menjadi ahli pengurusan syarikat di Mesir,” katanya sambil menyatakan syarikat itu mempunyai hampir 200 pekerja dan lebih 90 peratus daripadanya warga Mesir.

Asmaa Saeid, seorang doktor haiwan Mesir, menyertai New Hope pada 2018. Beliau ialah timbalan pengurus bahagian perkhidmatan teknikal syarikat dan bertanggungjawab menyediakan sokongan teknikal untuk pelanggan dan ladang mereka.

“Sebagai doktor haiwan wanita, bukan mudah untuk menyertai pasukan perkhidmatan penternakan. Apabila saya mula melawat ladang ayam, ramai penternak keberatan untuk menerima saya kerana bimbang perkhidmatan saya tidak cukup baik, tetapi dalam masa yang singkat saya mendapat kepercayaan mereka,” kata Asmaa dengan bangga. – Xinhua