Syarikat China di Iraq jadi sasaran roket

NASIRIYAH, IRAQ, 28 DIS – Roket dan tembakan menyasarkan premis syarikat perkhidmatan minyak China di selatan Iraq pada waktu subuh hari ini, tanpa menyebabkan sebarang kecederaan atau kerosakan, kata pegawai.

Seramai enam orang telah diberkas untuk siasatan ke atas serangan tersebut, kata pegawai keselamatan di wilayah Dhi Qar yang kecoh dan dilanda kemiskinan itu.

“Ibu pejabat syarikat China, ZPEC, yang beroperasi di kawasan Al-Gharraf, utara Nasiriyah, telah menjadi sasaran roket dan tembakan,” kata Karim al-Jandil, jurucakap syarikat minyak negeri di Dhi Qar.

Pegawai keselamatan yang lain berkata roket itu gagal meletup dan kerosakan yang terjadi di kawasan itu hanya lubang akibat peluru tembakan yang berdekatan dengan treler.

Syarikat China itu bertanggungjawab untuk menggerudi telaga di medan minyak Al-Gharraf.

Serangan itu didorong oleh ‘peras ugut’ untuk memberi tekanan kepada syarikat itu dan mendapatkan pekerjaan untuk penduduk tempatan, menurut dakwaan seorang pegawai syarikat minyak negeri itu. – AFP