Syarikat China mohon kelulusan vaksin

ANKARA, 25 NOV – Sebuah syarikat terkemuka China hari ini mengumumkan sudah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan rasmi bagi membolehkan vaksin COVID-19 yang dibangunkan syarikat itu dipasarkan, lapor Agensi Anadolu.

Naib pengurus besar Sinopharm, Shi Shengyi, berkata syarikat itu sudah mengumpulkan data dari negara-negara utama yang menjalankan ujian klinikal ke atas vaksinnya dan hasilnya dijangka memberangsangkan, memetik Global Times.

Terdahulu, syarikat itu mengatakan pihaknya telah menye-rahkan data vaksin yang sudah menjalani ujian klinikal Fasa Tiga kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan China dan masih dalam proses memberikan data lebih terperinci.

Menurut syarikat itu persediaan mengenainya kini di tahap akhir sebelum vaksin boleh dipasarkan, keutamaannya sekarang ialah untuk mendapatkan kelulusan. Syarikat dijadual mengeluarkan data Fasa Tiga sebaik mendapat kelulusan.

“Data kami diteliti oleh jabatan yang berkaitan, melalui protokol yang ketat dan kami bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” kata syarikat itu.

Bulan lalu, China mendakwa ujian klinikal vaksin COVID-19 yang dijalankan tidak menunjukkan “sebarang kesan buruk”. China dilaporkan mempunyai 13 vaksin percubaan yang sudah memasuki fasa ujian klinikal, termasuk empat vaksin kini di peringkat Fasa Tiga. – Bernama