Friday, December 6, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat dihukum denda $500

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Sebuah syarikat dihukum denda $500 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan meninggalkan sisa bahan binaan di kawasan luar sebuah bangunan komersial Kiulap.

    Hukuman denda diputuskan Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain ke atas Syarikat Rizwana Azlan Sdn Bhd yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 12 (1) (b) Akta Kesalahan Kecil, Penggal 30.

    Di bawah seksyen tersebut, hukuman denda $1,000 akan dikenakan dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya denda $3,000 dan hukuman penjara untuk tempoh tidak melebihi daripada tiga bulan. Syarikat itu diberi tempoh seminggu untuk menjelaskan denda.

    Kertas pertuduhan menyebut, sisa bahan binaan itu ditemui oleh sepasukan pegawai Penguat Kuasa Jabatan Bandaran yang ketika itu membuat pemeriksaan di kawasan sebuah bangunan komersial Kiulap kira-kira jam 11:45 pagi, pada 7 November 2016.

    Siasatan pegawai penguat kuasa tersebut mendapati yang sisa bahan binaan itu ditinggalkan oleh syarikat berkenaan yang telah diupah oleh pemilik premis untuk membuat pengubahsuaian premis.

    Syarikat itu kemudian dikenakan denda kompaun sebanyak $200 dan diberi tempoh seminggu, sehingga 14 November untuk menjelaskan denda kompaun itu.

    Syarikat itu bagaimanapun didapati gagal membayar denda kompaun dan pihak Jabatan Bandaran telah mengeluarkan surat amaran pada 2 Mac 2017 dan memberi tempoh seminggu untuk denda kompaun dilunaskan namun tidak dihiraukan oleh syarikat tersebut. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Qhairul Azim bin Nayan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda