Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Syarikat dikenakan kompaun, notis amaran

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan JPES

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Sembilan kompaun dan enam notis amaran telah dikeluarkan terhadap beberapa syarikat perniagaan kerana melanggar Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya semasa pemeriksaan rutin harian Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES).

    JPES, Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan antara kesalahan-kesalahan yang didapati adalah menjual barangan yang dikawal harga seperti minyak masak dan susu tepung formula anak damit serta barangan bersubsidi iaitu beras pulut, melebihi harga maksimum yang ditetapkan.

    Kesalahan lain adalah tidak memaparkan tanda harga bagi sebahagian barangan yang dijual di dalam premis perniagaan dan memaparkan tanda harga yang mengelirukan dan tidak selaras dengan harga yang tercatat dalam sistem pembayaran.

    Tindakan kompaun dikeluarkan berpandukan kepada kekerapan dan jenis kesalahan yang dilakukan, dengan Syarikat Usaha Tasbih Mini Mart (Telisai, Tutong) dikenakan kompaun $1,000, sementara itu, Syarikat Al-Muqsith (Mentiri) dan Syarikat Sifana Sdn Bhd (Manggis Satu) masing-masing dikenakan kompaun $700.

    Manakala Syarikat Shafra Trading (Bandar Seri Begawan) dan Syarikat Noor-fathima (Mentiri) dikenakan kompaun $500.

    Sebuah lagi syarikat iaitu Syarikat Fairosdin Sdn Bhd (Jalan Pandan, Belait) pula dikenakan dua kompaun berjumlah $500 bagi kesalahan yang berbeza.

    Kompaun sebanyak $500 juga dikeluarkan terhadap Salina’s Mart (Telanai) dan Pertama Department Store (Kampung Lambak).

    Kenyataan turut menyatakan bahawa dalam tiga minggu terakhir Oktober lalu, jabatan itu telah merekodkan enam notis amaran dikeluarkan kepada enam buah syarikat perniagaan atas kesalahan-kesalahan tertentu iaitu menjual melebihi harga maksimum bagi minyak masak dan susu tepung anak damit; tidak memaparkan tanda harga pada sebahagian barangan yang dijual; dan memaparkan tanda harga yang mengelirukan dan tidak selaras dengan harga yang tercatat dalam sistem pembayaran.

    Tindakan kompaun dan notis amaran tersebut adalah hasil maklumat daripada aduan orang ramai yang diterima secara rasmi termasuk melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak, hotline Talian Darussalam 123, dan e-mel, aduanpengguna@jpes.gov.bn.

    Pegawai penguat kuasa semasa melakukan pemeriksaan.
    Antara barang jualan yang dijual melebihi harga maksimum.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...