Sunday, January 26, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syarikat farmaseutikal M’sia sertai STEM

    KUALA LUMPUR, 27 Jun – Lima puluh syarikat farmaseutikal Malaysia menghadiri bengkel Kemampanan Melalui Kecemerlangan dalam Pembuatan (STEM) mengenai teknik pengeluaran farmaseutikal yang mampan dengan kualiti yang canggih, bersih dan lestari untuk antibiotik.

    Sesi latihan dan pendidikan itu telah diadakan di Malaysia baru-baru ini oleh DSM Sinochem Pharmaceuticals (DSP) – peneraju global dalam pengeluaran antibiotik mampan dengan kerjasama Institut Teknologi India (IIT), New Delhi.

    Pengarah Perniagaan AMEA bagi DSP, Tim Rutten berkata Malaysia mempunyai industri farmaseutikal domestik yang berkembang pesat, disokong oleh dasar kerajaan, pelaburan swasta dan kerjasama awam-swasta.

    “Antibiotik merupakan asas penjagaan kesihatan moden, menyembuhkan jangkitan bakteria dan membolehkan rawatan perubatan lanjutan seperti pembedahan dan rawatan kanser,” katanya dalam satu kenyataan.

    Rutten berkata untuk meneruskan langkah ke hadapan, industri farmaseutikal perlu memastikan antibiotik dibuat, digunakan dan diambil secara bertanggungjawab untuk mencegah pertumbuhan rintangan antimikrobial (AMR).

    Faktor-faktor yang biasanya menyumbang kepada AMR termasuk penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan antibiotik, serta pencemaran industri yang semakin meningkat, terutamanya sisa farmaseutikal, katanya.

    Pelepasan sisa farmaseutikal ke dalam alam sekitar yang mengandungi aktiviti antimikrob, katanya, boleh menyumbang kepada pertumbuhan AMR, walaupun semasa pengeluaran ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa, sekali gus membahayakan keberkesanan mereka di masa hadapan.

    Kementerian Kesihatan Malaysia telah menubuhkan jawatankuasa kerja yang menggesa agar kerjasama segera dalam kalangan sektor yang berlainan, sebagai sebahagian daripada Pendekatan Satu Kesihatan mereka, bagi menangani jurang dan penyelesaian kepada masalah AMR di negara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda