Syarikat Hello Kitty didenda AS$7 juta

BRUSSELS, 10 JULAI – Pihak berkuasa Kesatuan Eropah semalam mendenda syarikat Jepun di sebalik Hello Kitty, Sanrio Co. kerana menyekat jualan online rentas sempadan bagi permainan, koleh, beg dan produk-produk lain yang membawa cap dagang kartun kucing budak perempuan itu.

Pesuruhjaya undang-undang persaingan EU, Margrethe Vestager mengatakan Sanrio Co. didenda 6.2 juta euro (AS$7 juta) kerana syarikat itu mencabuli peraturan persaingan blok dengan lesen perjanjian yang melarang peniaga daripada menjual barangan di pelbagai negara dalam blok tersebut. Suruhanjaya itu mendapati amalan menyalahi undang-undang Sanrio itu dilakukan selama 11 tahun sehingga Disember.

Menyekat jualan rentas sempadan ‘membawa kepada kurangnya pilihan dan harga yang berpotensi tinggi bagi pengguna serta bertentangan dengan peraturan undang-undang persaingan EU,” kata Vestager. Pihak berkuasa EU melancarkan penyiasatan mereka dalam 2017, bersama dengan siasatan ke atas Nike dan Universal Studio, ketika mereka meningkatkan pemantauan teliti ke atas e-dagang sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan ‘pasaran digital tunggal.’

Sanrio hari ini mengatakan denda itu akan direkodkan sebagai kerugian luar biasa dalam kenyataan kewangan fiskal suku tahunnya. Syarikat bekerjasama dalam penyiasatan itu, katanya dari Tokyo. – AP

Gambar fail 2014 menunjukkan seorang model berpakaian karakter Hello Kitty menunggu pelanggan untuk bergambar dengannya di Sanrio Puroland, sebuah taman tema Hello Kitty di Tokyo. Kesatuan Eropah hari ini mendenda syarikat di sebalik kartun terkenal itu, Sanrio atas sekatan jualan rentas sempadan bagi barangannya cenderahatinya. – AP