Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Syarikat India bekalkan senjata kepada junta

    BANGKOK, 1 MAC – Sebuah pengeluar senjata milik negara India telah menghantar laras artileri ke Myanmar yang diperintah oleh tentera, menurut sebuah kumpulan aktivis, hari ini.

    Kumpulan itu juga memberi amaran bahawa ia mungkin digunakan oleh junta untuk mengenakan tindakan keras terhadap pembantah.

    Myanmar yang berada dalam kemelut sejak pihak tentera menggulingkan pemimpin kerajaan awam, Aung San Suu Kyi dua tahun lalu, menamatkan demokrasi dan mencetuskan bantahan berleluasa.

    Pihak tentera telah meng-gunakan senjata artileri dan serangan udara ke atas kumpulan penentang ketika ia bergelut untuk menghentikan penentangan, menurut pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, mencetuskan gesaan antarabangsa untuk menghentikan bekalan senjata kepada junta.

    Pada Oktober, pengeluar senjata yang dimiliki negara, Yantra India Limited menghantar 20 laras senapang artileri ke Myanmar berukuran 122 milimeter, data perkapalan yang didapatkan oleh kumpulan aktivis, Justice for Myanmar.

    Kereta berperisai tentera Myanmar menyertai perarakan di Nay Pyi Taw sempena Hari Angkatan Bersenjata ke-77 pada 27 Mac 2022. Sebuah pengeluar senjata milik negara India dilaporkan menghantar laras artileri ke Myanmar. – Xinhua

    Penerima untuk kargo itu, yang dianggarkan bernilai AS$330,000, ialah Innovative Industrial Technologies Company Limited, yang berpangkalan di hab komersial di Yangon, menurut data yang dikongsikan kepada AFP.

    Tahun lalu, syarikat yang sama memenangi tender junta untuk memasang dan mengkonfigurasi peralatan keselamatan di pusat data, menurut dokumen yang dilihat oleh AFP.

    Laras tersebut berkemungkinan digunakan untuk membuat artileri untuk tentera, kata Justice for Myanmar.

    Yantra India Limited merupakan kemudahan ‘pembuatan besi berteknologi tinggi’ untuk laras senapang dan ‘komponen lain artileri dan kereta kebal’, menurut laman sesawangnya.

    Lebih 3,000 orang terbunuh dalam tindakan keras tentera terhadap penentang, menurut kumpulan pemerhati tempatan.

    Usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis masih menemui jalan buntu, dengan junta dilindungi oleh sekutu rapatnya Rusia dan China di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.- AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...