Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Tiga buah syarikat dan seorang individu telah dikenakan kompaun oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB) semasa pemantauan rutin di kawasan sekitar Kampung Menglait, Batu Satu, Gadong dan kawasan Batu Bersurat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BPU JBBSB, dua buah syarikat dikenakan kompaun $500 di bawah Bab 12(1) (d) dan sebuah lagi dikenakan kompaun $200 atas kesalahan di bawah Bab 12(1)(a) manakala itu, seorang individu dikenakan kompaun $100 di bawah Bab (1)(a) di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan, Penggal 30. Kenyataan menyatakan bahawa syarikat-syarikat berkenaan didapati melakukan kesalahan antaranya meletakkan, meninggalkan sampah dan membuang atau menumpahkan cecair kotoran perniagaan secara tidak melalui ke saluran yang betul sehingga mengeluarkan bau dan mencemarkan kawasan belakang premis berkenaan yang mana boleh mengalir ke tempat awam.
Dalam kes berkenaan, syarikat-syarikat itu adalah dikehendaki membayar kompaun dalam tempoh tujuh hari dan kegagalan menjelaskan kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes dihadapkan ke mahkamah, di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000.
Manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.
JBBSB juga memperingatkan syarikat perniagaan, pemilik-pemilik premis perniagaan, orang ramai, kedai-kedai makan serta pemilik atau penyewa bangunan untuk menguruskan pembuangan sampah-sampah perniagaan secara teratur dan bertanggungjawab selain sama-sama menjaga kemaslahatan orang ramai. Sebarang aduan dan perkongsian maklumat boleh disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang www.123.gov.bn atau e-mel Info@123.gov.bn.
