Syarikat langgar peraturan dikenakan kompaun

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 1 OKT – Sebuah kedai buku di Kuala Belait telah dikenakan denda berjumlah $200 oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, hari ini, kerana meletakkan barang-barang jualan di kawasan kaki lima (tempat awam).

Menurut kenyataan yang diberikan, syarikat perniagaan tersebut telah dididapati melakukan kesalahan di bawah akta Kesalahan-kesalahan Kecil Bab 12 (1) (a) kerana meletakkan barang-barang jualan di tempat awam iaitu di kawasan kaki lima kedai sehingga mengganggu laluan orang ramai.

Syarikat tersebut telah diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun tersebut dan jika gagal menjelaskan denda kompaun berkenaan boleh didakwa di mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh didenda $1,000 bagi kesalahan pertama dan kesalahan seterusnya denda $3,000 dan penjara yang tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria mengingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya membuang sampah di tempat-tempat yang disediakan bagi menjaga kebersihan alam sekitar dan tidak meninggalkan sebarang jenis sampah atau meletakkan barang-barang jualan di tempat-tempat awam seperti di kaki-kaki lima kedai yang boleh mengganggu laluan orang ramai.

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria juga akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dan akan mengenakan denda kompaun kepada mana-mana individu atau syarikat yang membuang sampah di tempat awam, termasuk membuang sampah di tempat pusat pembuangan sampah yang hanya dikhaskan untuk penyewa, peniaga dan penjaja di bangunan komersil kerajaan seperti Bangunan Pasarneka Kuala Belait dan Gerai Bunga Simpur.

Untuk sebarang aduan mengenai pembuangan sampah di tempat-tempat awam di kawasan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria di talian 8896108 atau talian Darussalam 123.

Sebuah syarikat perniagaan telah didapati melakukan kesalahan kerana meletakkan barang jualan di tempat awam iaitu di kawasan kaki lima kedai. – Gambar serahan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria