Syarikat patuh akta meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Kadar pematuhan syarikat-syarikat perniagaan terhadap Akta Kawalan Harga Penggal 142 telah mencapai 98.4 peratus pada bulan April 2019, berbanding dengan 96.8 peratus pada bulan Mac dan 96.5 peratus pada bulan Februari.

Rekod peningkatan itu dikongsikan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dalam kenyataannya hari ini yang mengatakan pematuhan itu adalah hasil usaha pemberigaan dan penguatkuasaan jabatan tersebut yang telah dilakukan secara berterusan dan konsisten.

Pada April lalu, hanya enam kesalahan dicatat berbanding 12 kesalahan pada bulan Mac yang melibatkan penjualan minyak masak dan susu tepung anak damit melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh JPKE dan tidak mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.

Berikutan itu, sebanyak empat kompaun masing-masing berjumlah $500, satu kompaun berjumlah $700 serta 13 notis amaran telah dikeluarkan oleh JPKE.

Kesemua kesalahan berkenaan didapati di Daerah Brunei dan Muara, semasa pemeriksaan rutin harian yang dijalankan oleh JPKE.

Pemeriksaan sama turut dilaksanakan di seluruh negara secara berterusan bagi memastikan syarikat-syarikat perniagaan sentiasa mematuhi Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Hanya 12 kategori barangan keperluan asas yang tersenarai sebagai barangan yang dikawal harga secara berterusan iaitu minyak masak, susu tepung anak damit, beras, gula, kenderaan bermotor penumpang, bata tanah liat, gasolin motor Premium 97, Regular 85 dan Super 92), minyak diesel, gas petroleum cecair berbotol dan kerosin dua tujuan. Menurut kenyataan itu lagi, semasa musim perayaan, selama lima minggu bermula 1 Ramadan hingga 7 Syawal 1440 Hijrah, JPKE juga menetapkan harga maksima ke atas lapan kategori barangan keperluan makanan harian terpilih.

Barangan tersebut adalah ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi, tepung, susu (pekat, cair dan krim) dan santan (pekat, krim dan serbuk). Inisiatif ini bertujuan untuk mengekalkan harga yang makanan semasa musim perayaan.

JPKE juga ingin menekankan bahawa walaupun harga maksima ditetapkan bagi barangan terpilih yang tersenarai di atas, para peniaga adalah digalakkan untuk menawarkan harga kompetitif yang lebih murah bagi menarik pelanggan. Manakala, harga bagi barangan lain adalah tertakluk kepada kuasa pasaran (market forces).

Para peniaga juga diperiksa bagi memastikan aktiviti-aktiviti perniagaan dijalankan secara beretika dan wajar dengan mempamerkan tanda harga dan diskaun dengan jelas untuk memberikan maklumat kepada pengguna bagi memudahkan pembelian, iaitu dalam mematuhi peraturan tanda harga dan peraturan mengadakan acara jualan murah.

Manakala, para pengguna pula diingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk mengetahui hak mereka sebagai pengguna dengan sentiasa membuat pilihan dengan membuat perbandingan harga, kualiti jenama sebanding (substitute) di pasaran serta memahami terma dan syarat jualan bagi mendapatkan nilai terbaik dan dalam membuat pembelian yang bijak.

Dalam usaha memperkasa pengguna bermaklumat, JPKE menggalakkan orang ramai untuk menggunakan aplikasi mudah-alih PenggunaBijak/SmartConsumer.