Syarikat penerbangan berdepan peningkatan tempahan

NEW YORK, 7 NOV – Syarikat penerbangan berdepan dengan peningkatan tempahan termasuk penerbangan saat akhir ke Amerika Syarikat (AS) selepas Rumah Putih mengumumkan pintu sempadan negara itu akan dibuka semula bagi perjalanan antarabangsa mulai minggu depan.

Keputusan AS membuka semula pintu sempadannya berkuat kuasa esok adalah ditunggu-tunggu pelancong antarabangsa selepas ditutup selama 18 bulan kepada 22 buah negara akibat COVID-19.

Syarikat penerbangan terkenal termasuk Air France, United Airlines dan Singapore Airlines sedang melakukan persiapan untuk memenuhi lonjakan permintaan yang mendadak.

Ia termasuklah menambah jumlah penerbangan, penukaran pesawat lebih besar dan menggandakan usaha untuk menggaji dan mengekalkan kakitangan.

Sejurus selepas pengumuman Rumah Putih itu, British Airways menyaksikan peningkatan 900 peratus membabitkan carian penerbangan dan pakej percutian ke destinasi utama di AS berbanding minggu sebelumnya.

Selain itu, American Airlines turut berdepan lonjakan sebanyak 66 peratus dalam tempahan penerbangan ke Britain, 40 peratus ke Eropah dan 74 peratus ke Brazil.

Persaingan untuk mendapatkan tempat duduk pada 8 November itu sendiri bersifat sengit termasuk bagi pasangan Evelyne dan Jean-Michel Desobeau yang ingin menemui anak dan menantunya membabitkan penerbangan dari Perancis ke New York. Mereka menempah tiket penerbangan pada 2 November lalu dan akan berlepas ke New York pada Selasa nanti.

Bagi penerbangan Houston-Paris, Air France menukar pesawatnya dari Airbus 330 kepada Boeing 777, yang mempunyai lebih banyak kapasiti tempat duduk. – AFP