Syarikat penerbangan usaha hentikan pengeluaran CO2 menjelang 2050

BOSTON, 5 OKT – Syarikat penerbangan dunia bersepakat kelmarin untuk mencapai pelepasan karbon ‘sifar’ menjelang tahun 2050, ketika industri penerbangan meningkatkan usaha untuk mengawal tindakan yang menyumbang kepada pemanasan global.

“Bagi penerbangan, sifar adalah satu komitmen yang berani. Tetapi juga merupakan suatu kemestian,” kata Willie Walsh, Ketua Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), kepada mesyuarat eksekutif syarikat penerbangan terkemuka di Boston.

“Keputusan penting yang mesti kita buat akan menjamin kebebasan untuk terbang demi generasi masa depan.”

IATA mewakili 290 ahli syarikat penerbangan yang mengandungi 82 peratus daripada lalu lintas udara global pra-pandemik, dan ikrarnya mengikuti industri penerbangan Eropah yang telah memenuhi matlamat pelepasan Kesatuan Eropah.

“Ramai dari bilik ini – perseorangan atau dalam kumpulan – telah mengambil langkah ini,” kada Walsh kepada eksekutif-eksekutif.

Komitmen baharu ini dibuat 12 tahun selepas IATA mendedahkan rancangan pertamanya untuk mengurangkan pelepasan karbon syarikat penerbangan kepada 50 peratus menjelang 2050 berbanding pada tahap tahun 2005.

Pengetatan secara dramatik sasaran pertengahan abad tidak memerlukan undian, selaras dengan undang-undang IATA, tetapi mencapai persetujuan kerana tidak ada ahli yang mengemukakan bantahan yang akan menyekat langkah tersebut.

Walau bagaimanapun, mesyuarat itu menyaksikan syarikat penerbangan China menekankan objektif 2050 tidak sesuai dengan matlamat yang telah ditetapkan oleh kerajaan di Beijing, yang menyasar untuk neutral karbon pada tahun 2060. – AFP

Syarikat penerbangan dunia bersepakat untuk mencapai pelepas karbon ‘sifar’ menjelang tahun 2050. – Agensi