Syarikat pengutipan sampah diberi peringatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Pihak Berkuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) mengingatkan semua syarikat pengutipan sampah dan mereka yang terlibat dalam pengutipan, pengangkutan dan pembuangan sampah untuk melarang amalan-amalan kerja dan tingkah laku tidak selamat seperti pekerja bergantung di sebelah dan belakang trak sampah ketika bergerak.

SHENA dalam kenyataannya menekankan bahawa peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai seperti sarung tangan, baju senyawa dan ves dengan keterlihatan tinggi serta kasut keselamatan dan sebagainya patut dipakai oleh para pekerja pada setiap masa. Amalan-amalan dan tingkah laku tidak selamat boleh membahayakan keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan orang awam yang berdekatan.

Kenyataan menyatakan, di bawah Seksyen 12 Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2009, tanggungjawab majikan termasuk mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dan orang lain seperti orang awam.

Majikan patut menyediakan arahan, latihan dan penyeliaan mencukupi dan sebagainya, yang perlu bagi pekerja menjalankan tugas mereka dengan selamat.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) mengingatkan semua syarikat pengutipan sampah berdaftar dengan JASTRe supaya mematuhi sebarang perintah atau peraturan, termasuk perkara berkaitan dengan keselamatan pekerja, pada setiap masa.

Gagal melakukannya, JASTRe berhak untuk menggantung atau menarik balik kebenaran untuk menjalankan perkhidmatan pengutipan sampah yang dikeluarkan kepada syarikat berkenaan pada bila-bila masa sahaja.