Syarikat, runner perlu dapatkan kebenaran rentas sempadan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Syarikat-syarikat perniagaan dan pengangkutan yang menggunakan kenderaan komersial berdaftar di Negara Brunei Darussalam dan Malaysia atau transport operators serta runner yang berhasrat untuk merentas sempadan melalui pos kawalan darat bagi tujuan mengangkut dan menghantar barangan-barangan kegunaan persendirian ataupun komersial adalah dinasihatkan untuk mendapatkan kebenaran perjalanan keluar negeri terlebih dahulu.

Kebenaran perjalanan tersebut perlu diperolehi dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan melengkapkan borang permohonan atas talian yang dapat diakses di laman sesawang JPM, www.pmo.gov.bn, manakala bagi transport operators adalah diperlukan untuk melengkapkan Job Order Sheet bagi setiap perjalanan yang telah diberikan kebenaran.

Perkara itu diterangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar bawah) semasa menyatakan mengenai pengemaskinian garis panduan perjalanan bagi kenderaan komersial, transport operators dan runner pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, hari ini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mengatakan pengemaski-nian garis panduan baharu itu adalah kerjasama antara JPM, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi; serta Kementerian Pengangkutan dan Infoko-munikasi bertujuan untuk tidak menjejaskan pergerakan barangan dalam usaha untuk memastikan aktiviti ekonomi dan operasi rantaian bekalan (supply chain) di Negara Brunei Darussalam sepanjang sekatan keluar masuk sempadan yang berkuat kuasa semasa situasi COVID-19.

Menurutnya lagi, ia juga merupakan satu usaha kerajaan untuk mengurangkan kesan negatif kepada mata pencarian perniagaan-perniagaan syarikat atau individu-individu yang memberikan perkhidmatan pengambilan atau penghantaran barang yang biasanya dipanggil sebagai runners dengan penyediaan garis panduan tersebut juga adalah untuk memastikan usaha-usaha kerajaan dalam menangani COVID-19 tidak dikompromikan.

Yang Berhormat Dato menjelaskan dalam garis panduan itu syarikat-syarikat transport operators hendaklah mematuhi perkara-perkara seperti berikut iaitu mereka hanya dibenarkan untuk membuat penghantaran atau mengambil barang secara point-to-point sahaja; perjalanan hendaklah terus dari tempat-tempat pengambilan yang telah ditetapkan dan ke tempat penghantaran, tanpa transit atau berhenti, dan untuk kembali ke negara asal pada hari yang sama bagi mengurangkan risiko kontak rapat terutama sekali semasa keberadaan di luar negara.

Sementara itu gelang penjejakan (tracking bracelets) iMSafe akan diberikan kepada syarikat-syarikat transport operators di pos-pos kawalan darat untuk memantau keberadaan mereka dan mematuhi syarat-syarat perjalanan point-to-point dan bagi syarikat membuat perjalanan point-to-point dan kembali ke negara asal pada hari yang sama.

Manakala, bagi syarikat-syarikat transport operators yang berdaftar di Negara Brunei Darussalam adalah dikenakan had masa bagi setiap perjalanan keluar negara untuk kembali ke Negara Brunei Darussalam iaitu tidak melebih lima jam bagi laluan Pos Kawalan Sungai Tujoh, Pos Kawalan Labu manakala tidak lebih tiga jam melalui Pos Kawalan Ujung Jalan dan Pos Kawalan Kuala Lurah.

Bagi transport operators yang berdaftar di Negara Malaysia yang telah mendapat kebenaran untuk masuk ke Negara Brunei Darussalam yang bertujuan untuk membawa masuk barangan keperluan perishable yang memerlukan permit daripada agensi-agensi kerajaan Negara Brunei Darussalam hendaklah diiring oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan sepanjang perjalanan dari pos kawalan ke tempat penghantaran di Negara Brunei Darussalam, dan juga sepanjang perjalanan pulang ke pos-pos kawalan yang berkenaan.

Manakala transport operators yang berdaftar di Negara Malaysia yang membawa komoditi yang tidak memerlukan permit daripada agensi-agensi kerajaan ataupun yang bukan berbentuk perishable hanya dibenarkan membuat penghantaran atau pengambilan barang di tempat-tempat pemunggahan yang diluluskan iaitu di kawasan Inland Container Depot berdekatan dengan Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh Kuala Belait dan Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah.

Di samping itu juga, untuk melancarkan lagi proses checkpoint clearance bagi syarikat-syarikat transport operators, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa JPM telah menyediakan Dokumen Aliran Kerja bagi Syarikat-Syarikat Transport Operators Merentas Sempadan sebagai panduan mengenai dengan prosedur-prosedur serta syarat-syarat yang berkaitan semasa syarikat berkenaan merentas sempadan; dan Dokumen Protokol Operasi juga disediakan yang bertujuan untuk memberikan panduan kepada syarikat dalam protokol operasi mereka semasa musim COVID-19, dan memberikan panduan bagi mereka yang telah mengalami gejala COVID-19 atau pernah berhubungan dengan mereka yang dijangkiti COVID-19 semasa atau selepas menjalankan tugas pengangkutan dan penghantaran mereka.

Selain itu, bagi runners yang pada kebiasaannya tidak mempunyai kenderaan komersil berdaftar, JPM hanya membenarkan runners yang berdaftar sebagai syarikat sahaja untuk membuat pengambilan dan penghantaran iaitu di satu lokasi khusus di perkarangan sempadan sahaja, iaitu bagi Checkpoint Exchange sahaja, dengan syarat mereka hendaklah balik semula ke Negara Brunei Darussalam sebaik saja pengambilan atau penghantaran barang selesai dibuat.

“Ini merupakan pilihan yang lebih praktikal dalam usaha untuk membendung penularan penyakit COVID-19,” jelas Yang Berhormat Dato.

Menurutnya lagi, transport operators dan runners adalah dikehendaki untuk mengemaskinikan status kesihatan masing-masing dalam aplikasi penilaian sendiri di healthinfo.gov.bn selama 14 hari selepas membuat perjalanan mereka.

“Kesemua barangan yang dibawa masuk oleh Transport Operators dan runners hendaklah disimpan atau dikuarantin selama 72 jam atau tiga hari di premis syarikat masing-masing sebelum barangan tersebut dihantar kepada pelanggan,” tekan beliau yang kemudiannya menjelaskan bahawa kesemua syarat berkenaan akan mula berkuat kuasa pada 6 Mei (esok).

Untuk maklumat lanjut, Transport Operators dan Runners bolehlah melayari laman sesawang Jabatan Perdana Menteri di www.pmo.gov.bn atau menghubungi Talian Hotline 120 untuk sebarang pertanyaan lanjut.