JAKARTA, 4 NOV – Sekurang-kurangnya tujuh syarikat dari Sarawak telah menyatakan minat untuk meneruskan projek infrastruktur di wilayah Kalimantan Barat, Indonesia.
Pengerusi eksekutif syarikat pembangunan infrastruktur yang berpangkalan di Kuching, Maltimur Resources Sdn Bhd, Junaidi Sahadam berkata, projek itu termasuk jalan bertol Pontianak-Singkawang dan tenaga solar hibrid.
“Banyak perniagaan yang berpotensi besar menanti untuk diketengahkan di wilayah ini, terutamanya di ibu kota Pontianak,” katanya kepada agensi berita Indonesia, Antara.
Junaidi mengetuai delegasi tujuh syarikat berpangkalan di Sarawak bagi mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Pontianak, Edi Rusdi Kamtono di pejabatnya pada Khamis. – Bernama