Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Usaha warga Kementerian Kesihatan yang sedang menangani situasi jangkitan COVID-19 terus mendapat perhatian dan sokongan daripada pihak swasta di Negara Brunei Darussalam yang sama-sama tampil ke hadapan untuk menghulurkan sumbangan sebagai tanggungjawab sosial korporat mereka untuk sama-sama menangani wabak berkenaan. Baru-baru ini, beberapa buah syarikat menyampaikan sumbangan mereka kepada Kementerian Kesihatan.
Syarikat Zhejiang Hengyi Group Co.Ltd menyampaikan sumbangan berupa peralatan perubatan yang disampaikan oleh Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, Zhejiang Hengyi Group Co.Ltd, Li Peng yang diterima oleh Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin yang berlangsung di BIACC, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
Turut hadir pada majlis penyerahan itu dalam membantu melancarkan proses mendatangkan barangan sumbangan ialah wakil-wakil Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Brunei International Cargo Centre. Di samping itu, wakil dari Sinotrans (B) Sdn Bhd turut hadir selaku penyumbang utama bagi perkhidmatan penghantaran barangan sumbangan ke lokasi.
Manakala itu, Riza Group menghulurkan satu unit khemah dan sebuah kenderaan pikap yang disampaikan oleh pengurus syarikat, Pengiran Haji Harus bin Pengiran Haji Duraman kepada Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Kesihatan, Dayang Sufinah binti Haji Serudin yang berlangsung di kawasan tempat letak kereta, Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Manakala itu, WeCare.bn menyampaikan sumbangan berupa tujuh buah kerusi roda dan sebuah katil pesakit yang disampaikan oleh Penolong Pengurus WeCare Project, Dayang Siti Nurwaznah binti Bujang Ghazali kepada Pentadbir Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, Haji Mohammad Danil bin Haji Othman yang berlangsung di Hospital PMMPMHAMB pada 26 Mac.