Oleh Daniel Lim
BELAIT, 8 FEB – Sebagai usaha berterusan dalam menguatkuasakan Akta Kesalahan Kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 Pindaan 2006 kesalahan membuang sampah di tempat awam, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria (JBKBS) telah mengeluarkan denda kompaun sejumlah $500 ke atas sebuah Syarikat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JBKBS, Syarikat Bue Enterprise telah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Bab 12 (1) (d) iaitu melonggok batu di tanah kerajaan berdekatan Simpang 109, Jalan Maulana Kuala Belait.
Syarikat tersebut telah diberikan tempoh tujuh hari untuk menjelaskan denda kompaun berkenaan dan jika didapati gagal boleh didakwa di mahkamah di mana jika sabit kesalahan boleh didenda $1,000 bagi kesalahan pertama, dan kesalahan seterusnya, denda sebanyak $3,000 akan dikenakan dan penjara tidak melebihi tiga bulan.
Sehubungan dengan itu, JBKBS mengingatkan orang ramai dan syarikat-syarikat supaya membuang sampah di tempat-tempat yang disediakan dan tidak meninggalkan sebarang jenis sampah di tempat-tempat awam bagi menjaga kebersihan alam sekitar.
Bahagian Penguatkuasaan JBKBS akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dan akan mengenakan denda kompaun kepada mana-mana individu atau syarikat yang membuang sampah di tempat awam, termasuk membuang sampah di tempat pusat pembuangan sampah yang hanya dikhaskan untuk penyewa, peniaga atau penjaja di bangunan komersil kerajaan seperti Bangunan Pasarneka Kuala Belait dan Gerai Bunga Simpur.
Untuk sebarang aduan mengenai pembuangan sampah di tempat-tempat awam di kawasan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria boleh hubungi Bahagian Penguatkuasaan JBKBS di talian 3330789 atau 3330780 sambungan 215.