Selepas mengumumkan pengunduran dari kumpulan Dolla, penampilan terbaharu penyanyi Syasya yang kini sudah berhijab turut menjadi perhatian serta mendapat pujian ramai.
Manis dengan penampilan bertudung, Syasya atau Noor Syasya Aqah Shahrizal, 23, sebenarnya sudah lama menyimpan hasrat menutup aurat.
Bagaimanapun niat tersebut tidak dapat diteruskan kerana tuntutan kerja.
“Sebenarnya saya sudah lama terfikir untuk bertudung namun disebabkan kerja rasanya tidak sesuai… Apabila keluar daripada Dolla saya rasa ia adalah masa terbaik berbuat demikian.
“Saya jumpa jalan berbeza dalam kehidupan dan buat masa ini saya masih belajar dan masih tercari-cari gaya sesuai dalam penampilan bertudung,” katanya kepada mStar.
Syasya mula dilihat menutup aurat selepas video dia menyambut Hari Raya Aidiltri pada April lalu yang sudah bertudung tular di media sosial.
Dalam pada itu, Syasya memberitahu dia juga menitikberatkan soal pemakaian agar tidak kelihatan seksi dan mencolok mata.
“Ketika awal berhijab saya ‘rembat’ salah satu koleksi tudung ibu. Kenalah tengok dahulu gaya yang sesuai. Sekarang ini semakin banyak membeli tudung baharu.
“Koleksi baju juga kena ubah perlahan-lahan. Baju-baju lama saya tidak buang semua, tetapi beri kepada adik yang masih kecil. – Agensi