Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syazyana juara bercerita Tutong

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 18 April – Dengan cerita bertajuk ‘Ratapan Anak Tiri’, Dayang Nur Syazyana Nadirah binti Sahari dari Sekolah Rendah Tutong Kem telah menjuarai Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah Tutong yang diadakan di Dewan Sekolah Rendah Tutong Kem, pagi tadi.

    Manakala itu, Dayang Aisha Itqan Nuha binti Mohd Zun berada di tempat kedua diikuti oleh Dayang Eysa binti Eyus di tempat ketiga yang masing-masingnya dari Sekolah Rendah Tutong Kem.

    Johan peraduan membawa pulang wang tunai $500, piala dan sijil penyertaan, sementara di tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai $400 dan $300 berserta piala dan sijil penyertaan.

    Peserta-peserta lain turut menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai $100 setiap seorang dan sijil penyertaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Pegawai Pemerintah Batallion Kedua Tentera Darat Diraja Brunei, Perkhemahan Tutong, Leftenan Kolonel Muhammad Wata bin Abdullah Awat.

    Gambar ramai pemenang Peraduan Mari Bercerita Daerah Tutong bersama tetamu kehormat.
    Gambar ramai pemenang Peraduan Mari Bercerita Daerah Tutong bersama tetamu kehormat.

    Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hajah Sariani binti Haji Ishak.

    Juara-juara peringkat daerah secara langsung akan mewakili daerah masing-masing di samping seramai enam peserta terbaik dari kesemua daerah yang akan dipilih untuk bertanding di peringkat negara yang akan diadakan pada Mei depan.

    Seramai 10 orang peserta menyertai peraduan berkenaan yang merupakan salah satu projek tahunan anjuran Bahagian Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sejak tahun 1983 lagi.

    Peraduan terbuka kepada semua kanak-kanak warganegara Brunei Darussalam dan penduduk tetap yang berumur lapan hingga 12 tahun, yang menjadi ahli Perkhidmatan Perpustakaan Kanak-kanak, DBP.

    Antara lain tujuan peraduan diadakan adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tentang kepentingan dan menggalakkan masyarakat celik ilmu pengetahuan khususnya dalam program pembangunan negara di samping dapat menambahkan kosa kata dan meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan peserta.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk semangat membaca sekali gus memasyarakatkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak, di samping dijadikan sebagai arena latihan kepada kanak-kanak untuk mengasah bakat mereka agar mereka lebih berani bercakap di hadapan khalayak ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda