Sydney siasat sumber jangkitan tempatan baharu

SYDNEY, 6 MEI – Pihak berkuasa kesihatan Sydney hari ini menyiasat sumber kes pertama tempatan COVID-19 dalam masa lebih sebulan, dengan New Zealand menangguhkan sementara gelembung perjalanan bebas kuarantin bersama negara itu.

Seorang lelaki berusia 50an bersama isterinya telah diuji positif virus terbabit, mencetuskan amaran bagi hampir puluhan lokasi sekitar Sydney yang mereka telah kunjungi yang dipercayai boleh berjangkit.

Pasangan itu adalah kes jangkitan koronavirus yang pertama direkodkan di bandar itu di luar hotel kuarantin sejak awal April.

Perdana Menteri New South Wales, Gladys Berejiklian berkata bermula 5 petang ini, penduduk Sydney seramai lima juta akan terpaksa memakai semula penutup mulut dan hidung dalam pengangkutan awam dan tempat tertutup.

“Kami percaya ia adalah respons sesuai dengan risiko yang kami hadapi ketika ini,” kata Berejiklian kepada wartawan.

Pegawai perubatan menjalankan ujian COVID-19 di lot parkir di Pantai Bondi di Sydney pada 6 Mei. – AFP

Ujian kumbahan mendedahkan kesan virus di bahagian tengah barat bandar itu.

Susulan pengumuman itu, New Zealand berkata ia menangguhkan sementara gelembung perjalanan bersama negara itu sehingga sumber jangkitan sudah dikesan.

“Sekarang, ia bukan keputusan yang kami ambil ringan,” kata Chris Hipkins, menteri New Zealand bagi respons COVID-19.

“Namun kami membayangkan bila kami membuka gelembung perjalanan rentas-Tasman akan kami teruskan secara berwaspada.”

Para pengunjung di kedua-dua pihak Laut Tasman yang mengunjungi lokasi-lokasi Sydney diaturkan oleh pihak berkuasa New South Wales akan diasingkan di mana mereka berada, tambahnya.

Menurut pegawai kesihatan kanan negara itu, ujian genomik mengaitkan jangkitan lelaki itu dengan seorang pengunjung yang pulang dari Amerika Syarikat (AS) yang telah menetap di salah sebuah hotel-hotel kuarantin di bandar itu.

Bagaimana virus itu ‘bocor’ ke dalam komuniti itu masih lagi disiasat. – AFP